Apple Pay & Privasi

Maklumat berkaitan kad, lokasi dan maklumat tentang seting serta corak penggunaan peranti mungkin dihantar kepada Apple dan mungkin digunakan bersama-sama maklumat akaun untuk memberikan penilaian kepada pengeluar kad atau rangkaian bayaran anda untuk menyediakan Apple Pay serta mencegah penipuan transaksi.
 

Apple Pay direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.


Privacy Icon

  • Apabila anda menambahkan kad pada Apple Pay, maklumat berkaitan kad, lokasi dan maklumat tentang seting serta corak penggunaan peranti mungkin dihantar kepada Apple untuk menentukan kelayakan.
  • Sesetengah maklumat di atas, maklumat berkaitan akaun dan butiran peranti berpasangan mungkin dikongsi dengan pengeluar kad atau bank anda untuk menentukan kelayakan dan tujuan antipenipuan.
  • Apabila anda menggunakan Apple Pay dalam app dan di web, maklumat yang diperlukan untuk memproses bayaran dikongsi dengan app atau tapak web. Nombor kad sebenar anda tidak dikongsi dengan pedagang.
  • Data Apple Pay yang tidak lagi boleh dikaitkan dengan anda boleh digunakan oleh Apple untuk meningkatkan Apple Pay dan produk serta perkhidmatan Apple yang lain.
  • Apple Pay ialah perkhidmatan teknologi yang disediakan oleh sekutu Apple Inc., yang bertanggungjawab untuk data peribadi anda.

Apple Pay membolehkan anda membuat pembelian selamat di kedai, dalam app dan di web, menggunakan kad debit, kredit dan prabayar anda.

Apple Pay ialah perkhidmatan teknologi yang disediakan oleh sekutu Apple Inc., yang bertanggungjawab untuk data peribadi anda. Penyedia Apple Pay anda mungkin berbeza bergantung pada lokasi anda, seperti Apple Payments Services LLC di Amerika Syarikat. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang entiti Apple yang bertanggungjawab memproses data peribadi anda, lawati Dasar Privasi Apple di apple.com/my/privacy dan Syarikat Bersekutu Apple di www.apple.com/legal/privacy/my/affiliated-company.

Menambahkan Kad pada Apple Pay

Apabila anda menambahkan kad bayaran seperti kad kedai, kredit, debit dan prabayar ke Apple Pay, maklumat yang anda berikan tentang kad anda serta sama ada seting peranti tertentu didayakan mungkin dihantar kepada Apple untuk menentukan kelayakan anda bagi mendayakan Apple Pay dan cirinya. Peranti anda juga mungkin menilaikan corak penggunaan peranti (contohnya, peratusan masa peranti sedang dalam pergerakan, anggaran bilangan panggilan dalam seminggu) untuk membantu mengenal pasti penipuan. Maklumat yang dinilai oleh peranti anda tidak dikongsi dengan Apple dalam cara yang boleh dikaitkan dengan anda.

Pengeluar kad anda, rangkaian bayaran atau penyedia yang dibenarkan pengeluar kad anda boleh berkongsi maklumat tentang ciri dan faedah kad dengan Apple, seperti sama ada ia menyokong ganjaran atau program ansuran, untuk menentukan kelayakan bagi ciri Apple Pay tertentu. Maklumat juga boleh diberikan oleh Apple kepada entiti tersebut untuk mendayakan Apple Pay, menentukan kelayakan kad, menyediakan kad anda dengan Apple Pay dan mencegah penipuan, termasuk:

  • Nombor kad kredit, debit atau prabayar anda
  • Nama dan alamat pengebilan yang dikaitkan dengan Akaun Apple anda
  • Maklumat umum tentang aktiviti Akaun Apple anda (contohnya, sama ada anda mempunyai sejarah transaksi yang lama dalam iTunes)
  • Maklumat tentang peranti anda dan, jika menggunakan Apple Watch, peranti iOS berpasangan (contohnya pengecam peranti, nombor telefon dan nama serta model, untuk Apple Watch dan juga peranti iOS berpasangan anda)
  • Lokasi pada masa anda menambah kad anda (jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi)
  • Sejarah penambahan kad bayaran pada akaun atau peranti
  • Statistik teragregat yang berkaitan dengan maklumat daripada kad bayaran yang telah anda tambahkan atau cuba tambahkan pada Apple Pay

Apabila anda menambah kad pada Apple Pay menggunakan app pihak ketiga seperti app perbankan, app menghantar pengecam akaun atau kad ke peranti anda. Maklumat ini digunakan oleh Apple dan pengeluar kad anda untuk menentukan kelayakan kad anda, menyediakan kad anda dengan Apple Pay dan untuk mencegah penipuan. Untuk membantu anda menyediakan kad yang anda miliki atau pernah dimiliki baru-baru ini pada peranti lain, Apple menyimpan rujukan kad dengan Akaun Apple anda yang boleh digunakan dengan pengeluar kad atau rangkaian bayaran untuk menambah semula kad selepas memasukkan kod keselamatan. Apple Pay tidak menyimpan nombor kad kredit, debit atau prabayar asal.

Membayar dengan Apple Pay

Apabila anda memulakan bayaran, untuk mendayakan pengiraan cukai dan kos penghantaran, kod zip, poskod anda atau maklumat setara yang lain mungkin diberikan kepada app, tapak web atau pedagang. Apabila anda memulakan bayaran dalam pelayar pihak ketiga, pelayar menjana kod QR atau Kod Klip App untuk diimbas dengan peranti yang menyokong Apple Pay anda. Setelah diimbas, Apple memulakan saluran komunikasi antara pelayar dengan peranti yang menyokong Apple Pay, yang pelayar dan peranti berkongsi maklumat transaksi serta pengebilan dan/atau penghantaran berkaitan yang diperlukan untuk memproses transaksi.

Jika ciri bayaran Apple Pay dipertingkat seperti keupayaan untuk membayar dengan ansuran atau ganjaran didayakan, selepas anda memulakan pembelian Apple Pay, Apple akan mengenal pasti pilihan bayaran yang tersedia kepada anda berdasarkan kad yang anda miliki dalam Wallet anda dan faedah serta ciri kad tersebut, yang diberikan kepada Apple oleh pengeluar kad. Anda juga boleh memilih untuk Apple mengenal pasti pilihan bayaran tambahan yang mungkin tersedia kepada anda dan yang belum lagi ada dalam Wallet anda. Untuk berbuat demikian, Apple akan menggunakan maklumat tentang transaksi anda, seperti pedagang dan amaun, untuk menentukan sama ada kaedah bayaran tambahan tersedia bagi transaksi tersebut. Apple tidak mengekalkan maklumat tentang transaksi dan semakan kelayakan kaedah bayaran secara yang dikaitkan dengan anda. Jika anda memilih untuk memohon kaedah bayaran baharu, maklumat permohonan anda akan dikongsi secara terus dengan pengeluar dan tidak akan dilihat atau disimpan oleh Apple. Untuk membantu anda membuat keputusan kewangan termaklum, jika anda memilih untuk membayar dengan ganjaran, Apple mungkin menggunakan maklumat tentang kad anda, ciri dan faedah kad, serta pedagang dan amaun transaksi, untuk mengambil dan memaparkan baki ganjaran semasa anda, mata ganjaran (atau yang setara) yang akan dicaj untuk transaksi, serta baki ganjaran anda selepas transaksi. Untuk membolehkan anda memilih pelan ansuran yang sesuai dengan kesihatan kewangan anda, Apple memberikan maklumat pedagang dan amaun kepada pengeluar anda yang mengambil bahagian, yang mereka gunakan untuk menilai kelayakan serta memberi Apple senarai pilihan ansuran untuk dipaparkan. Apple tidak mengekalkan maklumat ini yang diproses untuk menyediakan ciri bayaran Apple Pay dipertingkat secara yang dikaitkan dengan anda.

Selepas anda membenarkan bayaran, maklumat lain yang diminta oleh pedagang, seperti nombor akaun khusus peranti atau pedagang, alamat penghantaran anda atau alamat e-mel anda turut diberikan. Nombor kad daripada kad kredit, debit atau prabayar anda tidak diberikan apabila anda menggunakan Apple Pay.

Untuk membantu memastikan sebarang caj berulang atau yang dimulakan pedagang yang lain seperti langganan dibenarkan oleh anda, apabila anda memilih untuk memberikan kaedah bayaran Apple Pay yang layak kepada pedagang yang mengambil bahagian untuk caj berulang atau yang dimulakan pedagang, pengeluar dan/atau rangkaian bayaran anda akan meluluskan dan menjana nombor akaun khusus pedagang untuk digunakan bagi caj sedemikian. Hanya nombor akaun khusus pedagang tersebut boleh digunakan oleh pedagang yang mengambil bahagian untuk membenarkan transaksi tanpa anda melakukan tindakan tertentu. Apple akan mengetahui pedagang yang berkaitan dengan nombor akaun khusus pedagang anda, tetapi bukan perkara yang anda beli atau amaun yang anda bayar untuknya. Anda boleh mengurus nombor akaun khusus pedagang anda dalam Wallet dengan mengetik kad dan mengetik butang Lagi untuk melihat butiran kad.

Untuk kad dengan pencegahan penipuan dipertingkat tertentu, apabila anda mencuba transaksi dalam talian atau in-app, peranti anda akan menilai maklumat tentang Akaun Apple, peranti dan lokasi anda jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi untuk Wallet, untuk membangunkan penilaian pencegahan penipuan pada peranti. Output penilaian pencegahan penipuan pada peranti, namun bukan data mendasar, akan dihantar kepada Apple dan digabungkan dengan maklumat yang diketahui Apple tentang peranti dan akaun anda untuk membangunkan penilaian pencegahan penipuan transaksi Apple Pay. Penilaian pencegahan penipuan transaksi ini boleh dikongsi dengan rangkaian bayaran anda, bersama-sama pengecam alamat penghantaran dan alamat IP jika tersedia, untuk mencegah penipuan pada masa transaksi. Pengecam alamat penghantaran berbeza-beza mengikut rangkaian bayaran dan boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada alamat penghantaran bagi transaksi berbeza yang menggunakan kad tertentu pada peranti anda adalah sama melalui cara yang tidak mendedahkan alamat mendasar. Anda boleh menyemak sama ada kad mempunyai pencegahan penipuan dipertingkat ini pada bila-bila masa dengan pergi ke bahagian belakang kelayakan bayaran anda dalam Wallet. Untuk mencegah perkongsian penilaian pencegahan penipuan dengan rangkaian bayaran, anda boleh memilih kad lain.

Apabila menggunakan app atau melawat tapak web menerusi Safari yang menggunakan Apple Pay dalam iOS, watchOS atau macOS, app atau tapak web boleh menyemak sama ada anda telah mendayakan Apple Pay pada peranti tersebut. Semasa melawati tapak web dalam Safari pada peranti iOS atau Mac yang tidak boleh ditambahkan kad, tapak web boleh menyemak sama ada anda telah menyediakan Apple Pay pada iPhone atau Apple Watch menggunakan Akaun Apple yang sama. Anda boleh menyahdayakan tapak web yang anda lawati daripada menyemak jika Apple Pay didayakan dengan menukar seting anda. Pada iOS, pergi ke Seting > App > Safari > Lanjutan > Semak untuk Apple Pay. Pada Mac, pergi ke Safari > Seting > Lanjutan dan nyahpilih “Benarkan tapak web menyemak untuk Apple Pay dan Apple Card”.

Melindungi Kaedah Bayaran Anda

Melindungi Kaedah Bayaran Safari
Untuk membantu melindungi kaedah bayaran anda pada ekosistem Apple dan memanfaatkan faedah privasi serta keselamatan Apple Pay, kaedah bayaran Apple Pay anda yang disokong daripada Wallet juga akan tersedia dalam Isi Auto Safari. Apabila membeli-belah dalam talian dengan Isi Auto Safari, untuk tapak web, anda boleh menyediakan nombor kad maya untuk menyembunyikan nombor kad fizikal anda, jika disokong oleh rangkaian dan pengeluar kad anda yang mengambil bahagian. Untuk mendayakan fungsi ini, Apple akan menghantar maklumat terhad tentang kaedah bayaran anda kepada rangkaian atau pengeluar anda (atau pihak ketiga dibenarkan mereka), yang akan menjana nombor kad maya untuk anda gunakan semasa membeli-belah dalam talian dengan Isi Auto Safari. Untuk mengurus nombor kad Apple Pay anda, termasuk nombor kad maya, pergi ke bahagian belakang pas anda dalam Wallet dan ketik untuk melihat Maklumat Kad. Anda juga boleh membantu melindungi kaedah bayaran yang sudah wujud dalam Isi Auto Safari dengan membayar menggunakan Apple Pay atau nombor kad maya berbanding nombor kad fizikal anda. Untuk mengurus, pergi ke Seting > Wallet & Apple Pay dan ketik Gunakan Apple Pay Apabila Tersedia. Apabila didayakan, maklumat terhad tentang kad disimpan anda dalam Isi Auto Safari yang diperlukan untuk mengesahkan kelayakan bagi Apple Pay akan dihantar ke rangkaian bayaran anda untuk pengesahan. Jika rangkaian bayaran anda menandakan kad layak, Apple akan menambahkan kaedah bayaran ke Wallet dan rangkaian anda akan menjana nombor kad Apple Pay untuk perlindungan beli-belah dalam talian yang dipertingkat.

Melindungi Kaedah Bayaran Akaun Apple
Untuk membantu anda mengurus kaedah bayaran anda pada ekosistem Apple, Apple mungkin menyemak sama ada sebarang kaedah bayaran Apple Pay berkelayakan untuk ditambah sebagai kaedah bayaran dalam rekod ke Akaun Apple anda dan memaparkan kaedah bayaran tersebut dalam Seting > [nama anda] > Bayaran & Penghantaran > Tambah Kaedah Bayaran > Kaedah Bayaran. Apabila anda melakukan transaksi dengan Akaun Apple anda, Apple juga mungkin menyemak sama ada sebarang kaedah bayaran Akaun Apple dalam rekod berkelayakan untuk Apple Pay. Jika betul, untuk membantu melindungi maklumat bayaran anda, Apple mungkin mendayakan Apple Pay untuk kaedah bayaran tersebut. Anda boleh mengubah suai kaedah bayaran Akaun Apple anda pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Bayaran & Penghantaran.

Apple Menghantar, Namun Tidak Menyimpan Maklumat Bayaran Anda

Untuk menghantar maklumat bayaran anda secara selamat dalam app, tapak web dan Bual Perniagaan, ia dihantar kepada Apple dalam bentuk yang disulitkan. Maklumat tersebut dinyahsulitkan buat seketika dan disulitkan semula dengan kunci khusus pedagang, supaya hanya pedagang, pembangun atau pemproses bayaran mereka boleh menyahsulitkan maklumat bayaran anda. Apabila anda membuat bayaran pada Mac yang kad tidak boleh ditambah, Mac dan peranti pengesahan berkomunikasi melalui saluran yang disulitkan melalui pelayan Apple. Apple tidak menyimpan sebarang maklumat ini dalam bentuk yang mengenal pasti anda secara peribadi.

Apple Pay turut membolehkan anda membuat bayaran dalam pelayar pihak ketiga dan menggunakan peranti yang menyokong Apple Pay untuk membenarkan transaksi. Apabila menggunakan ciri ini, Apple akan mencipta saluran komunikasi antara pelayar pihak ketiga dengan peranti pengesahan anda melalui pelayan Apple untuk membolehkan anda mengemas kini butiran penghantaran dan bayaran anda, serta memberikan kebenaran anda. Maklumat penghantaran dan pengebilan anda, serta maklumat tentang caj pedagang, seperti cukai atau yuran penghantaran yang dikaitkan dengan pembelian anda, akan kelihatan seketika kepada Apple. Apple tidak menyimpan sebarang maklumat ini dalam bentuk yang mengenal pasti anda secara peribadi.

Penjejakan Pesanan Apple Pay

Untuk menyediakan penjejakan pesanan kepada anda, setelah membuat pembelian Apple Pay, pedagang yang mengambil bahagian akan menghantar maklumat pesanan dihadkan peranti anda bagi peranti anda untuk digunakan bagi menjejak pesanan anda. Apple juga memberikan pengecam peranti khusus pedagang kepada pedagang dan token push yang boleh digunakan pedagang untuk memberikan kemas kini pesanan kepada peranti. Apple memudahkan kemas kini pedagang, tetapi tidak menyimpan maklumat pesanan, mahupun menjejak bilangan, kekerapan atau pedagang yang menghantar kemas kini pesanan. Maklumat penjejakan pesanan disimpan secara setempat pada peranti anda dan dipastikan dikemas kini merentas peranti dengan menyelaraskan salinan disulitkan, yang tidak boleh diakses oleh Apple. Anda boleh mengurus pesanan Apple Pay anda pada bila-bila masa dengan mengetik untuk melihat Pesanan anda, mengetik pada pesanan tertentu dan mengetik Urus Pesanan. Anda juga boleh mengurus pemberitahuan tentang Pesanan dengan pergi ke Pesanan, mengetik butang Lagi, kemudian mengetik Senyapkan Pemberitahuan.

Apabila anda mendaftar keluar daripada akaun anda, peranti anda mungkin masih mengekalkan maklumat terhad tentang pesanan yang peranti tersebut menerima kemas kini. Maklumat ini tidak akan kelihatan kepada pengguna peranti, akan dikekalkan untuk tempoh masa yang singkat dan digunakan oleh peranti anda hanya untuk membantu menghentikan kemas kini daripada dihantar ke peranti selepas mendaftar keluar untuk mengelakkan akses tidak dibenarkan kepada maklumat pesanan anda.

Berkongsi Aktiviti Akaun dengan App Pihak Ketiga

Anda boleh berkongsi butiran akaun dan sejarah transaksi Apple Card, Savings serta Apple Cash anda dengan app pengurusan kewangan peribadi yang mengambil bahagian yang anda percayai daripada App Store. App mesti meminta keupayaan untuk membaca aktiviti akaun Apple Card, Savings atau Apple Cash anda daripada Apple Pay dalam Wallet. Anda mempunyai kawalan ke atas data yang anda kongsi dengan app ini dan boleh menukar perkara yang anda kongsi pada bila-bila masa. Aktiviti akaun yang anda pilih untuk berkongsi dengan app pihak ketiga akan dikendalikan berpandukan dasar privasi app tersebut. Apple tidak melihat atau menyimpan butiran akaun atau sejarah transaksi anda apabila anda berkongsi aktiviti akaun anda.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi Apple Pay anda umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, termasuk maklumat tentang:

  • Akaun anda, seperti sama ada akaun anda aktif
  • Peranti anda, seperti jenis peranti, versi perisian dan nombor siri peranti
  • Pas anda, seperti maklumat yang dipaparkan pada pas
  • Pengeluar pas anda, seperti pihak ketiga yang dibenarkan untuk menyediakan kemas kini pada pas
  • Penggunaan Apple Pay oleh anda, contohnya bilangan pas Apple Pay yang telah anda tambahkan
  • Lokasi anda

Kepentingan sah ini termasuk:

  • Menambah dan mengurus pas
  • Membantu meningkatkan dan mengoptimumkan perkhidmatan untuk anda serta orang lain
  • Membantu anda menemui ciri yang paling berkaitan dengan anda
  • Menyemak kelayakan
  • Menyediakan anda perkhidmatan yang anda minta
  • Menghantar komunikasi kepada anda tentang Apple Pay dan produk, perkhidmatan, serta tawaran Apple lain yang mungkin menarik minat anda
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Maklumat Lain

Untuk menentukan kelayakan bagi ciri Wallet dan Apple Pay, apabila anda mengetik kad dalam Wallet, Apple mungkin menyemak kelayakan ciri dengan melihat pada negara yang kad tersebut dikeluarkan dan sama ada pengeluar mengambil bahagian dalam ciri tersebut.

Jika anda telah mengaktifkan Perkhidmatan Lokasi, lokasi peranti anda pada masa anda menggunakannya untuk membuat pembelian di kedai mungkin dihantar secara tanpa nama kepada Apple dan akan digunakan untuk membantu Apple Pay meningkatkan ketepatan nama perniagaan dalam sejarah transaksi kad Wallet dan mungkin dikekalkan dalam bentuk agregat untuk meningkatkan Peta Apple, Apple Pay serta Wallet. Anda boleh menyahdayakan fungsi berdasarkan lokasi Apple Pay ini pada bila-bila masa pada peranti iOS anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > Perkhidmatan Sistem dan mengetik untuk menyahaktifkan Pengenalan Pedagang Apple Pay. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi > Perkhidmatan Lokasi, kemudian klik untuk menyahaktifkan Wallet.

Untuk membantu meningkatkan Apple Pay, Apple mengumpulkan maklumat tentang penggunaan Apple Pay oleh anda dan menyimpan maklumat tersebut dengan cara yang tidak mengenal pasti anda secara peribadi. Maklumat ini termasuk masa yang anda perlukan untuk berjaya menambah kad atau melengkapkan transaksi menggunakan Apple Pay. Apple juga boleh menggunakan maklumat ini untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple yang lain, untuk pemasaran dan bagi tujuan pencegahan penipuan serta keselamatan.

Syarat perjanjian mana-mana pemegang kad, pengguna, perjanjian pedagang, atau terma dan syarat lain yang boleh digunakan pada penggunaan ciri Apple Pay akan terus mentadbir penggunaan kad anda dan penggunaannya berhubungan dengan Apple Pay dan syarat sedemikian mungkin mempunyai dasar privasi tambahan. Apple atau sekutunya yang menyediakan Apple Pay bukanlah bank dan notis ini ialah tambahan kepada sebarang notis yang mungkin anda terima daripada bank anda. Sekiranya Apple mengesyaki penipuan berhubungan dengan penggunaan Apple Pay, maklumat tentang akaun Apple berkemungkinan berbentuk penipuan dan transaksi mungkin dikongsi dengan pengeluar kad anda atau penyedia rangkaian bayaran anda untuk mencegah penipuan.

Apple mengekalkan data peribadi hanya setakat yang perlu untuk memenuhi tujuan yang data tersebut dikumpulkan, termasuk seperti yang diterangkan dalam notis ini dan selaras dengan Dasar Privasi Apple atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh paling singkat yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 20 September 2024