Hubungan tindakan dalam Pintasan
Apabila tindakan menggunakan kandungan yang disediakan oleh tindakan sebelumnya, garis muncul di bawah bahagian tengah senarai tindakan yang menghubungkan tindakan. Garis ini menandakan output tindakan akan digunakan sebagai input untuk tindakan berikutnya.
Banyak tindakan Pintasan boleh menerima input dan memberikan output. Sesetengah tindakan menerima input sahaja, mencipta output sahaja, atau menyerahkan input sebagai output tanpa mengubahnya.
Ketik ikon tindakan dalam pintasan untuk melihat perihalan tindakan, jenis input yang diterima dan jenis output yang diberikannya.
Sesetengah tindakan hanya menerima jenis kandungan khusus sebagai input. Tindakan yang tidak serasi muncul dalam senarai tanpa garis bersambung, untuk menunjukkan yang tindakan tersebut tidak akan berfungsi bersama. Contohnya, tindakan Dapatkan Lokasi Semasa tidak boleh menyediakan output untuk tindakan Cipta Senarai Main kerana Cipta Senarai Main memerlukan item lagu, bukan lokasi peta.
Sesetengah tindakan tidak mengambil input dan menghasilkan output sahaja. Ini biasanya tindakan “dapatkan”, seperti Dapatkan Peristiwa Akan Datang, Dapatkan Lagu Semasa,atau Pilih foto, semuanya hanya mendapatkan data. Tindakan yang tidak mengambil input muncul dalam senarai tindakan terpisah daripada tindakan sebelumnya, tanpa garis tengah yang menyambungkannya.
Dalam contoh berikut, tindakan Pilih Foto mendapatkan data daripada app Foto dan tidak memerlukan input daripada tindakan lain. Data yang diambil oleh tindakan Pilih Foto diserahkan ke dalam tindakan Tukar Imej.
Sesetengah tindakan menerima kandungan sebagai input tetapi tidak mengubahnya, menyerahkan kandungan yang sama sebagai output. Contohnya, tindakan Getar Peranti menggoncang peranti anda antara tindakan sambil menyerahkan input kepada tindakan seterusnya.
Begitu juga, menyerahkan nombor telefon sebagai input kepada tindakan Panggil akan membuat panggilan telefon kepada nombor tersebut; apabila panggilan tamat, tindakan Panggil menghasilkan nombor telefon yang sama sebagai output.