Sediakan Rantai Kunci iCloud untuk mengisi auto maklumat pada Mac
Rantai Kunci iCloud memastikan maklumat log masuk tapak web dan maklumat kad kredit yang anda gunakan dengan isi auto dalam Safari dan maklumat rangkaian Wi-Fi anda dikemas kini merentas semua komputer Mac (OS X 10.9 atau lebih baharu), peranti iOS (iOS 7.0.3 atau lebih baharu) dan peranti iPadOS anda.
Rantai Kunci iCloud juga menyimpan seting akaun, supaya akaun media sosial anda boleh ditambah secara automatik ke Mac lain apabila anda mendaftar masuk dengan Apple ID anda pada Mac tersebut. Sebagai contoh, akaun Exchange, Google dan akaun internet lain yang anda gunakan dengan Mail, Kenalan, Kalendar, Peringatan, Nota dan Mesej boleh ditambah secara automatik.
Semua yang disimpan dalam Rantai Kunci iCloud adalah selamat—ia dilindungi oleh penyulitan standard industri. Rantai Kunci iCloud anda tidak boleh disediakan pada Mac atau peranti iOS atau iPadOS lain kecuali jika anda luluskannya.
Sediakan Rantai Kunci iCloud pada Mac anda
Pada Mac anda, pilih menu Apple > Seting Sistem, kemudian klik [nama anda] di bahagian atas bar sisi.
Jika anda tidak melihat nama anda, klik “Daftar masuk dengan Apple ID anda”, masukkan Apple ID anda (atau alamat e-mel atau nombor telefon Boleh Dihubungi yang anda tambah dalam seting Apple ID), kemudian masukkan kata laluan anda. Jika anda tidak mempunyai Apple ID, anda boleh mencipta satu.
Klik iCloud di sebelah kanan, klik Kata Laluan & Rantai Kunci, kemudian aktifkan Selaraskan Mac ini.
Ikuti arahan atas skrin untuk menyediakan pengesahan dua faktor jika anda belum berbuat demikian.
Anda juga mesti menyediakan Mac anda untuk memerlukan kata laluan log masuk sebelum anda boleh menggunakan Rantai Kunci iCloud.
Luluskan peranti baharu untuk menggunakan Rantai Kunci iCloud
Jika anda menggunakan pengesahan dua faktor dan telah menyediakan Rantai Kunci iCloud pada peranti lain, anda boleh meluluskan peranti baharu dengan mudah untuk menggunakan data iCloud anda. Pada peranti baharu, apabila digesa, masukkan kata laluan atau kod laluan log masuk peranti yang telah menyediakan Rantai Kunci iCloud.
Untuk mendapatkan maklumat tentang menyediakan Rantai Kunci iCloud pada peranti iOS atau iPadOS anda, lihat panduan pengguna untuk iPhone, iPad, atau iPod touch.
Mengeluarkan maklumat kad kredit atau nama akaun dan kata laluan dalam Safari (atau dengan Akses Rantai Kunci) memadamkannya dari rantai kunci macOS anda dan dari Rantai Kunci iCloud anda.