Cipta atau tukar Folder Pintar pada Mac
Anda boleh mencipta Folder Pintar yang mengandungi senarai fail yang mempunyai persamaan. Anda menentukan kriteria untuk item yang anda mahukan dalam folder, seperti jenis fail, tarikh fail dibuka, atau kandungan fail. Sebagai contoh, jika anda suka membakar, anda boleh mencipta Folder Pintar yang mengandungi semua dokumen Pages yang anda buka pada tahun lepas yang mengandungi perkataan “biskut” dan “resipi”.
Semasa anda menambah, menukar atau memadamkan fail pada Mac anda yang memenuhi kriteria, senarai fail dalam Folder Pintar dikemas kini secara automatik.
Cipta folder Pintar
Dalam Finder pada Mac anda, pilih Fail > Folder Pintar Baharu.
Tentukan kriteria.
Setkan peraturan pertama: Dalam medan carian, masukkan topik, frasa, tarikh, atau ciri lain fail yang anda mahu senaraikan dalam Folder Pintar anda, kemudian pilih daripada cadangan yang muncul di bawah medan carian. Perincikan carian anda dengan mengklik menu timbul dalam medan carian.
Tambah peraturan: Klik butang Tambah di bawah medan carian, kemudian setkan peraturan menggunakan menu timbul atribut carian. Lihat senarai atribut lengkap dengan mengklik Lain dalam menu timbul yang pertama.
Klik Simpan, kemudian masukkan nama dan lokasi untuk Folder Pintar anda.
Jika anda tidak mahu Folder Pintar berada dalam bar sisi, nyahpilih Tambah Ke Bar sisi.
Anda tidak boleh menggunakan aksara tertentu, termasuk tanda baca seperti noktah bertindih (:), dalam nama folder. Jika mesej ralat muncul, cuba menggunakan nama lain.
Tukar kriteria untuk Folder Pintar
Dalam Finder pada Mac anda, buka Folder Pintar.
Mulakan menaip dalam medan carian folder, atau klik menu timbul Tindakan , kemudian pilih Tunjukkan Kriteria Carian.