Jika Mac anda tidak bertindak balas pada penekanan kekunci
Jika Mac anda tidak memberi maklum balas apabila anda menekan kekunci pada papan kekunci, atau jika menekan sesetengah kekunci memberikan hasil yang bukan diharapkan, cuba perkara berikut.
Jika tiada kekunci yang berfungsi pada papan kekunci luaran
Putuskan sambungan dan sambung semula papan kekunci. Pastikan penyambung dimasukkan sepenuhnya ke dalam port.
Sambungkan papan kekunci anda ke port USB berlainan atau ke Mac berlainan. Jika ini menyelesaikan masalah, Mac anda mungkin perlu dibaiki. Bawanya ke Apple Store atau Pembekal Khidmat Sah Apple.
Sambungkan papan kekunci berlainan ke Mac ini. Jika ini menyelesaikan masalah, anda mungkin perlu membawa papan kekunci anda untuk servis.
Jika tiada kekunci berfungsi pada papan kekunci terbina dalam komputer buku Mac anda
Mac anda mungkin menunjukkan amaran bateri lemah yang anda tidak boleh lihat. Sambungkan Mac anda ke salur kuasa elektrik atau sambungkan papan kekunci luaran ke Mac anda untuk melihat isyarat.
Jika kekunci Keluarkan Media atau kekunci Caps Lock tidak berfungsi
Cuba tahan terus kekunci lebih lama. Kekunci ini ditundakan sedikit bagi mencegah tindak balas serta-merta jika ditekan secara tidak sengaja. Tekan dan tahan kekunci Keluarkan Media sehingga ikon Keluarkan Media muncul di skrin serta tekan dan tahan kekunci Caps Lock sehingga lampu penunjuk kekunci hidup.
Jika kekunci lain tidak berfungsi
Anda mungkin telah menetapkan pilihan secara tidak sengaja yang mengubah cara papan kekunci beroperasi.
Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Kebolehcapaian, klik Papan Kekunci, kemudian klik Perkakasan. Pastikan Kekunci Perlahan dinyahaktifkan. Jika Kekunci Perlahan diaktifkan, anda mesti menekan dan menahan kekunci lebih lama daripada biasa sebelum ia dapat dicam.
Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Kebolehcapaian, klik Kawalan Penuding, kemudian klik Kaedah Kawalan Alternatif. Pastikan Kekunci Tetikus dinyahaktifkan.
Pilih menu Apple > Keutamaan Sistem, klik Papan Kekunci, kemudian klik Sumber Input. Pilih “Tunjukkan menu Input dalam bar menu.” Buka menu Input, kemudian pastikan tataletak papan kekunci yang betul dipilih.