Tambah klip video dan foto dalam iMovie pada iPad
Tambah klip video
Dengan projek anda terbuka, skrol garis masa agar penunjuk main (garis menegak putih) muncul di tempat anda ingin menambah klip video.
Klip baru ditambah sama ada sebelum atau selepas klip sedia ada, yang mana satu paling dekat dengan penunjuk main.
Ketik butang Tambah Media di penjuru kanan atas, kemudian ketik Video.
Ketik untuk memilih kategori video dari senarai.
Untuk mempratonton klip sebelum menambahnya pada projek anda, ketik untuk memilih klip, kemudian ketik butang Main .
Anda juga boleh meleret ke kiri dan kanan atas klip untuk mempratontonnya secara manual, yang boleh membantu anda mengenalpasti dengan tepat bahagian klip yang anda mahu gunakan.
Jika anda menggunakan Foto iCloud, sesetengah media mungkin disimpan dalam iCloud tetapi tidak pada peranti anda. Jika butang Muat Turun muncul apabila anda mengetik klip, ketik butang untuk memuat turun media ke peranti anda.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Tambah keseluruhan klip pada projek filem anda: Ketik klip, kemudian ketik butang Tambah ke Projek .
Pangkas klip sebelum anda menambahnya: Ketik klip, seret pemegang pangkas kuning untuk memilih bahagian klip yang anda mahu tambah sahaja, kemudian ketik butang Tambah ke Projek .
Anda juga boleh memangkas klip video selepas anda menambahnya pada projek.
Tambah audio klip sahaja: Ketik klip, ketik butang Pilihan Lanjut , kemudian ketik Audio Sahaja.
Tambah klip sebagai tindihan: Ketik klip, ketik butang Pilihan Lanjut , kemudian ketik salah satu pilihan berikut:
Selitan: Tambah klip supaya semasa main balik, filem “terpotong keluar” daripada klip utama dalam garis masa dan menunjukkan klip selitan.
Gambar dalam Gambar: Tambah klip supaya semasa main balik, klip muncul dalam tetingkap lebih kecil, bertindih pada klip utama dalam garis masa.
Skrin Terpisah: Tambah klip supaya semasa main balik, klip muncul bersebelahan klip utama dalam garis masa. Dua klip ini muncul sebelah menyebelah, dengan saiz yang sama.
Skrin Hijau/Biru: Tambah klip supaya semasa main balik, klip muncul dengan bahagian skrin hijau atau skrin biru klip dikeluarkan dan bahagian klip yang selebihnya bertindih pada klip utama dalam garis masa.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tindihan video, lihat Laraskan kesan dalam pemapar dalam iMovie pada iPad.
Bahagian klip yang ditambah muncul dalam pelayar media dengan garis jingga di bahagian bawah untuk menunjukkan bahawa ia telah digunakan dalam projek. Anda boleh menggunakan sebarang bahagian video seberapa kali yang anda inginkan dalam projek.
Tambah foto
Anda boleh menambah foto—yang berada dalam pustaka foto anda atau yang diselaraskan ke peranti anda daripada komputer anda—ke sebarang projek iMovie.
Untuk mengetahui cara mengambil foto terus ke dalam iMovie, lihat Rakam video dan ambil foto dalam iMovie pada iPad.
Dengan projek anda terbuka, skrol ke garis masa agar penunjuk main (garis menegak putih) muncul atas lokasi yang anda mahu menambah foto.
Anda boleh mengalihkan foto kemudian jika anda mahu.
Jika penunjuk main berada di atas klip video, foto ditambah sebelum atau selepas klip, yang paling hampir dengan penunjuk main.
Ketik butang Tambah Media di penjuru kanan atas, kemudian ketik Foto atau Album.
Ketik album, kemudian ketik dokumen yang anda mahu tambah.
Nota: Jika anda menggunakan Foto iCloud, sesetengah media mungkin disimpan dalam iCloud tetapi tidak pada peranti anda. Jika butang Muat Turun muncul apabila anda mengetik foto, ketik butang untuk memuat turun foto ke peranti anda.
Untuk mempratonton foto sebelum menambahnya, pastikan iPad berada dalam orientasi landskap, kemudian sentuh dan tahan foto sehingga ia muncul dalam pemapar timbul.
Foto yang ditambah muncul selama 3 hingga 6 saat, bergantung pada panjang transisi yang muncul sebelum dan selepas foto, tetapi anda boleh memendekkan atau memanjangkan jangka masa menggunakan pemegang pemangkasan. Kesan Ken Burns turut digunakan pada foto, yang bermakna kamera muncul seperti meleret merentas dan zum masuk ke imej. Untuk melaraskan kesan ini, lihat Laraskan kesan dalam pemapar dalam iMovie pada iPad.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Tambah foto pada projek filem anda: Ketik klip, kemudian ketik butang Tambah ke Projek .
Tambah foto sebagai tindihan: Ketik foto, ketik butang Pilihan Lanjut , kemudian ketik satu daripada pilihan berikut:
Selitan: Tambah foto supaya semasa main balik, filem "terpotong keluar" daripada klip utama dalam garis masa dan menunjukkan foto selitan.
Gambar dalam Gambar: Tambah foto supaya semasa main balik, foto muncul dalam tetingkap lebih kecil, bertindih pada klip utama dalam garis masa. Menambah foto dengan saluran alfa menggunakan alfa untuk menentukan bahagian imej yang lut sinar, yang mungkin berguna apabila menambah imej sebagai logo atau tera air.
Skrin Terpisah: Tambah klip supaya semasa main balik, foto muncul bersebelahan klip utama dalam garis masa. Dua klip ini boleh muncul sebelah menyebelah, atau satu di atas yang lain, dengan saiz yang sama.
Skrin Hijau/Biru: Tambah foto supaya semasa main balik, foto muncul dengan bahagian skrin hijau atau skrin biru foto dikeluarkan dan bahagian klip yang selebihnya bertindih pada klip utama dalam garis masa.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tindihan , lihat Laraskan kesan dalam pemapar dalam iMovie pada iPad.
Gosok video
“Menggosok” klip ialah satu lagi cara untuk mempratontonnya. Apabila anda menggosok, anda bergerak ke belakang dan ke hadapan secara manual menerusi klip agar anda boleh melihatnya dengan terperinci.
Dalam pelayar media, sentuh dan tahan klip yang anda mahu pratonton sehingga penunjuk main muncul, kemudian leret ke kiri atau kanan.
Video dimainkan dalam pemapar, atau dalam pemapar timbul apabila anda meleret.
Buat asal atau buat semula tindakan
Anda boleh membuat asal tindakan sehingga kali terakhir anda membuka iMovie.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Ketik butang Buat Asal .
Untuk membuat semula tindakan, sentuh dan tahan butang Buat Asal Mengedit Projek, kemudian ketik Buat Semula Mengedit Projek.
Goncang peranti anda dan ketik Buat Asal Mengedit Projek atau Buat Semula Mengedit Projek.