Cara iCloud mengemas kini maklumat pada semua peranti anda
Dengan iCloud, anda boleh menyimpan fail dan data dalam awan supaya anda boleh mengaksesnya pada semua peranti anda. Anda akan melihat maklumat yang sama di mana‑mana sahaja.
Untuk setiap peranti, anda boleh memilih app yang menggunakan iCloud (seperti Kenalan, Mail, Peringatan atau Keynote) serta ciri iCloud yang dihidupkan (seperti Foto iCloud, iCloud Drive atau Sandaran iCloud), dan anda boleh menukar seting tersebut pada bila‑bila masa. Lihat Daftar masuk ke iCloud pada semua peranti anda dan App dan ciri yang menggunakan iCloud.
Simpan maklumat dalam iCloud dan mengaksesnya di mana‑mana sahaja
Apabila anda menghidupkan iCloud untuk app atau ciri, anda menyimpan kebanyakan maklumat dalam awan yang mengosongkan ruang pada peranti anda. Oleh sebab maklumat disimpan dalam iCloud, anda boleh mengakses maklumat tersebut di mana sahaja anda mendaftar masuk dengan Apple ID anda. Untuk melihat maklumat yang sama pada setiap peranti, hanya daftar masuk dengan Apple ID yang sama.
Sebagai contoh, jika anda mendaftar masuk ke iPhone anda dengan Apple ID anda dan menghidupkan Kenalan dalam seting iCloud, kenalan yang anda cipta dalam app Kenalan pada iPhone anda akan disimpan dalam awan.
Jika anda juga mendaftar masuk ke Mac anda dengan Apple ID anda dan menghidupkan Kenalan dalam seting iCloud, anda akan melihat kenalan iCloud tersebut dalam app Kenalan pada Mac anda.
Oleh sebab maklumat anda disimpan dalam awan, jika anda membuat perubahan di satu tempat, anda akan melihat perubahan tersebut di mana‑mana sahaja. Jadi, jika anda menambah kenalan baharu atau menukar alamat e‑mel kenalan pada iPhone anda, perubahan tersebut disimpan dalam iCloud. Apabila Mac anda berada dalam talian selepas ini, anda boleh melihat kenalan yang dikemas kini dalam app Kenalan pada Mac anda.
Untuk sesetengah app dan ciri, anda boleh menggunakan iCloud untuk berkongsi dan bekerjasama. Kandungan yang anda kongsi akan dikemas kini untuk semua orang. Lihat Gunakan iCloud untuk berkongsi dan bekerjasama.
Jika anda mempunyai peranti yang tidak menghidupkan iCloud
Jika anda mempunyai peranti yang tidak didaftar masuk dengan Apple ID anda atau mematikan iCloud untuk app atau ciri, anda tidak akan melihat maklumat yang disimpan dalam iCloud pada peranti anda.
Sebagai contoh, jika anda tidak menghidupkan iCloud untuk Kenalan pada iPad anda, anda tidak akan melihat kenalan anda yang disimpan di iCloud dalam app Kenalan pada iPad anda. Anda hanya akan melihat kenalan yang anda cipta pada iPad anda.
Jika anda tidak ingin menghidupkan iCloud untuk app atau ciri pada peranti anda, anda boleh mengakses sesetengah maklumat yang disimpan dalam iCloud dari pelayar web. Lihat Daftar masuk dan gunakan iCloud.com.
Jika anda mematikan iCloud untuk app atau ciri pada peranti
Jika anda mematikan iCloud untuk app atau ciri pada peranti, maklumat pada peranti tersebut tidak lagi dikemas kini bersama peranti anda yang lain. Walau bagaimanapun, anda masih boleh melihat maklumat terkini di iCloud.com dan pada peranti anda yang menghidupkan iCloud untuk app atau ciri tersebut.
Bergantung pada app atau ciri, apabila anda mematikan iCloud, anda mungkin ditanya sama ada anda ingin menyimpan salinan maklumat pada peranti anda. Anda boleh sentiasa membuat salinan maklumat sendiri sebelum mematikan iCloud. Lihat artikel Sokongan Apple Arkibkan atau buat salinan maklumat yang anda simpan di iCloud.
Sebagai contoh, jika anda memutuskan untuk mematikan iCloud untuk Kenalan pada iPhone anda, anda boleh melakukan salah satu daripada yang berikut:
Buat salinan kenalan iCloud anda pada iPhone anda: Anda akan melihat salinan kenalan anda dalam app Kenalan, tetapi kenalan tersebut tidak akan dikemas kini bersama peranti anda yang lain. Jika anda mengemas kini nombor telefon pada iPhone anda, ia hanya berubah pada iPhone anda. Dan jika anda mengemas kini alamat e‑mel pada peranti lain yang menghidupkan iCloud, anda akan melihat alamat e‑mel yang dikemas kini di iCloud.com dan sebarang peranti lain yang menghidupkan iCloud, tetapi anda tidak akan melihat kemas kini tersebut pada iPhone anda.
Padamkan semua kenalan iCloud dari iPhone anda: Semua kenalan iCloud anda akan dikeluarkan dari iPhone anda. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mengakses kenalan itu di iCloud.com dan pada sebarang peranti yang menghidupkan iCloud untuk app Kenalan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang berlaku apabila anda mendaftar keluar dari peranti, lihat artikel Sokongan Apple Daftar keluar dari iCloud pada iPhone, iPad, Apple TV atau Mac anda.