Tambah dan sahkan domain dalam Apple Business Manager
Domain (juga dikenali sebagai nama domain) menunjukkan organisasi yang lebih besar dan bukannya ahli individu. Nama domain adalah berdaftar dan mestilah unik secara sejagat.
Nota: Istilah domain dalam konteks dokumen ini merujuk kepada FQDN individu (Nama Domain Layak Sepenuhnya). Hal ini bermakna (contohnya) betterbag.com dan accounts.betterbag.com dianggap sebagai dua domain yang berbeza dan mesti ditambahkan dan diuruskan secara individu dalam Apple Business Manager.
Selepas anda mendaftar untuk Apple Business Manager, anda mempunyai pilihan untuk menambahkan, kemudian mengesahkan domain yang anda daftarkan. Sebab anda menambahkan dan mengesahkan domain adalah untuk memanfaatkan Akaun Apple Terurus. Akaun ini—sama seperti Akaun Apple peribadi—menggunakan alamat e-mel sebagai nama akaun untuk mendaftar masuk ke laman web, app dan banyak lagi. Nama Akaun Apple Terurus (alamat e-mel) mestilah unik secara global. Jika anda tidak mendaftarkan domain, anda boleh menggunakan domain yang dikhaskan.
Lihat Gunakan Akaun Apple Terurus.
Domain yang dikhaskan
Domain yang dikhaskan dicipta secara automatik untuk mana-mana organisasi Apple Business Manager. Domain yang dikhaskan boleh digunakan jika tiada domain tersuai yang tersedia. Domain ini mempunyai ciri berikut:
Domain adalah berdasarkan laman web yang dimasukkan semasa proses pendaftaran.
Domain tidak memerlukan organisasi untuk mengesahkan domain.
Domain tidak boleh diedit atau dikeluarkan.
Sebagai contoh, jika anda mendaftar menggunakan laman web www.betterbag.com, nama domain yang dikhaskan ialah betterbag.appleaccount.com. Jika berbilang organisasi menggunakan domain yang sama, nombor meningkat akan ditambahkan pada nama, seperti betterbag2.appleaccount.com.
Domain tersuai
Jika anda memiliki domain tersuai, anda boleh menggunakan domain ini untuk mencipta Akaun Apple Terurus. Untuk berbuat demikian, domain mesti didaftarkan dan disahkan terlebih dahulu. Proses pengesahan membantu untuk memastikan bahawa hanya organisasi yang mempunyai kuasa mengubah suai rekod perkhidmatan nama domain (DNS) untuk domain itu yang boleh mencipta Akaun Apple Terurus menggunakan domain tersebut.
Selepas domain ditambahkan dan disahkan, anda boleh memilih untuk mengurus pemilikan semua Akaun Apple pada domain itu. Lihat mengurus domain yang disahkan.
Menambahkan domain tersuai
Terdapat dua cara menambahkan peranti pada Apple Business Manager:
Tambah domain tersuai secara manual, kemudian sahkan domain tersebut.
Segerakkan domain tersuai yang telah disahkan daripada sebarang pembekal identiti (IdP) yang berfungsi dengan Apple Business Manager. Contohnya, anda boleh menyegerakkan domain tersuai yang telah disahkan dalam Google Workspace atau Microsoft Entra ID.
Nota: Anda hendaklah menambahkan hanya domain yang anda miliki. Penambahan domain yang bukan milik anda akan menyebabkan anda tidak dapat mencipta Akaun Apple Terurus.
Mengesahkan domain
Selepas anda menambahkan domain secara manual, maka anda mesti mengesahkannya. Pengesahan domain memastikan organisasi anda—dan tiada orang lain—boleh menggunakan domain yang anda masukkan untuk mencipta Akaun Apple Terurus.
Sebagai contoh, untuk menggunakan betterbag.com sebagai domain, anda perlu menambahkan rekod TXT tertentu—sejenis rekod Sistem Nama Domain(DNS)— pada fail zon pelayan nama domain anda dalam masa 14 hari kalendar selepas memulakan proses pengesahan (yang bermula apabila anda memilih butang Sahkan). Ini menunjukkan bahawa organisasi anda mempunyai kuasa untuk mengubah suai rekod perkhidmatan nama domain (DNS) bagi domain anda.
Penting: Anda mempunyai 14 hari kalendar untuk menyelesaikan proses pengesahan atau anda mesti bermula semula. Bergantung pada konfigurasi rangkaian, sedikit masa diperlukan untuk perubahan DNS dipaparkan. Pastikan anda telah memberitahu individu dalam syarikat anda yang boleh menulis rekod pada entri DNS anda (sebagai contoh, pentadbir DNS atau IT anda) supaya tugas dapat dilengkapkan sebelum tempoh berakhir.
Hanya domain yang belum disahkan oleh syarikat lain boleh ditambah. Jika domain anda tidak dapat disahkan, langkah tambahan mesti diambil untuk menyelesaikan organisasi mana yang dikaitkan dengan nama domain yang dipertikaikan. Ini dikenali sebagai konflik domain.
Bersambung kepada IdP untuk menambahkan domain
Domain boleh disegerakkan daripada Google Workspace atau Microsoft Entra ID dengan mengesahkan salah satu daripadanya kepada Apple Business Manager dan bukannya menambahkan domain secara manual. Ini membolehkan Apple Business Manager mendapatkan semua domain yang telah disahkan untuk penggunaan. Selepas sambungan berjaya, semua domain muncul sebagai disahkan dalam Apple Business Manager.
Konflik domain
Terdapat tiga jenis konflik domain:
Contoh 1: Domain yang didaftarkan oleh organisasi lain.
Contoh 2: Domain yang didaftarkan oleh organisasi lain dan mereka menambahkan rekod TXT untuk mengesahkan bahawa mereka memiliki nama domain.
Contoh 3: Organisasi lain mempunyai Akaun Apple Terurus sedia ada yang menggunakan domain.
Penting: Untuk dua contoh pertama, Apple tidak campur tangan dalam perihal tuntutan domain.
Contoh | Organisasi yang mendaftarkan nama domain | Organisasi anda | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Contoh 1 | Mereka mendaftarkan betterbag.com. | Organisasi anda boleh memilih untuk menghantar maklumat hubungan (nama orang yang meminta untuk dihubungi, alamat e‑mel mereka dan nama organisasi mereka) kepada organisasi yang mendaftarkan nama domain. Organisasi itu boleh memilih sama ada ingin menghubungi organisasi anda untuk menyelesaikan tuntutan domain atau tidak. | |||||||||
Contoh 2 | Mereka mendaftarkan betterbag.com dan mengesahkannya. | Organisasi anda tidak boleh menghantar apa-apa kepada organisasi mereka kerana betterbag.com telah didaftarkan dan mereka menambahkan rekod TXT untuk mengesahkan bahawa mereka memiliki nama domain. Oleh itu, organisasi anda tidak boleh menggunakan nama domain tersebut. | |||||||||
Contoh 3 | Mereka mendaftarkan betterbag.com dan mencipta Akaun Apple Terurus menggunakan domain tersebut. | Jika organisasi berbeza mempunyai Akaun Apple Terurus dalam domain yang ingin anda gunakan, Apple akan menyiasat pemilikan domain dan memberitahu anda apabila siasatan selesai. Jika lebih daripada satu organisasi mempunyai tuntutan sah domain tersebut, tiada organisasi yang boleh mengesahkan. |
Tambah dan sahkan domain
Dalam Apple Business Manager , daftar masuk dengan pengguna yang mempunyai peranan Pentadbir atau Pengurus Individu.
Pilih nama anda di bahagian bawah bar sisi, pilih Keutamaan , kemudian pilih Akaun Apple Terurus .
Dalam bahagian Domain, pilih Tambah Domain, kemudian masukkan domain yang ingin anda gunakan.
Lakukan salah satu daripada yang berikut:
Jika anda memasukkan domain yang didaftarkan dan disahkan oleh organisasi lain, anda mesti memasukkan domain yang berbeza untuk meneruskan proses.
Jika anda memasuki domain yang telah didaftarkan dengan organisasi lain tetapi belum disahkan, anda boleh memilih "Saya bersetuju untuk berkongsi maklumat hubungan saya di atas," kemudian pilih Serahkan. Lihat Konflik domain.
Pilih Tambah domain, kemudian lengkapkan langkah selebihnya dalam tugas ini.
Pilih Sahkan di sebelah domain.
Rekod TXT akan dipaparkan dan anda akan menerima e‑mel yang menyatakan bahawa domain yang anda pilih kini sedang cuba membuat pengesahan. Anda mempunyai 14 hari kalendar untuk melengkapkan proses pengesahan. Rekod TXT mengandungi rentetan dengan aksara rawak di hujungnya. Contohnya:
“apple-domain-verification=RaNdOmLeTtErSaNdNuMbErS.”
Pilih butang Salin.
Jika anda menggunakan salah satu daripada perkhidmatan berikut, lihat dokumentasi mereka untuk menampal rekod TXT ke dalam fail zon atau hubungi pentadbir DNS anda:
GoDaddy: Tambah rekod TXT.
Microsoft Entra ID: Tambahkan rekod TXT atau MX untuk mengesahkan anda memiliki domain tersebut.
NameCheap: Bagaimanakah saya boleh menambah rekod TXT/SPF/DKIM/DMARC untuk domain saya?
Network Solutions: Bagaimanakah Saya Boleh Menguruskan Rekod DNS dan DNS Lanjutan?
Pilih “Text (TXT) Records atau Sender Policy Framework (SPF) Records.”
Jika anda mempunyai pendaftar domain yang berlainan, hubungi mereka untuk mendapatkan maklumat tentang cara menambah rekod TXT ke fail zon DNS anda.
Selepas anda berjaya menambahkan rekod TXT DNS, muktamadkan proses pengesahan.
Nota: Hanya domain yang belum dituntut oleh organisasi lain boleh ditambah. Lihat Konflik domain.
Muktamadkan proses pengesahan
Dalam Apple Business Manager , daftar masuk dengan pengguna yang mempunyai peranan Pentadbir atau Pengurus Individu.
Pilih nama anda di bahagian bawah bar sisi, pilih Keutamaan , kemudian pilih Akaun Apple Terurus .
Cari domain dengan rekod TXT ditambah, kemudian pilih Semak Sekarang.
Jika rekod TXT telah dimasukkan dengan betul ke dalam fail zon DNS, rekod yang ditunjukkan dan butang Salin harus bertukar kepada pemilikan Disahkan.
Jika rekod TXT telah dimasukkan dengan tidak betul ke dalam fail zon DNS, butang Semak Sekarang tidak akan berubah.
Selepas domain berjaya disahkan, anda boleh mengeluarkan rekod TXT daripada fail zon sekiranya perlu.